Sunday, January 1, 2012

Demi Masa


"Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian, melainkan yang beriman dan yang beramal soleh, saling menasihati dalam kebenaran dan saling menasihati dalam kesabaran.”
[al-Ashr [103]: 1-3]
Assalamu'alaikum, sememangnya masa senantiasa menghambat kita. Mungkin dunia akhir zaman, mungkin juga usia yang semakin meningkat. Walau apapun, setiap awal tahun memaksa kita merenung kembali azam yang telah kita tanam tahun lalu - ada yang berhasil, ada yang tidak dan ada yang masih boleh dijadikan kenyataan.
Rasanya baru semalam saya memulakan blog 'Rabiah Hijrah' ini, pada 14 Februari 2011, sebagai mengenang perjalanan hidup seorang ibu yang meninggalkan tempat lahirnya disebabkan keputusan pemimpin yang memaksa penduduk Melayu Singapura membuat pilihan - untuk tetap di pulau itu atau berpindah ke Semenanjung.
Kendatipun terdapat rahmat di sebalik pilihan yang pedih dan adegan perpisahan yang menyedihkan, perhubungan dengan kenangan serta kaum kerabat di tanah tumpah darah bukan seperti debu di mata atau benang kusut yang boleh digunting dan dibuang begitu sahaja. Biarpun jasad jarang berkunjung, namun ingatan pada pengalaman masa lalu - perasaan yang melonjak dan merudum, suasana riang dan suram, suara lunak dan garang, sentuhan halus dan kasar, bau-bauan harum dan hanyir - sering manggamit dan mengimbau hingga sukar dikikis begitu sahaja.
Ada ketika berlaku peristiwa, seperti penyerahan Stesen KTM Tanjong Pagar (antara mercu tanda bukti Singapura dahulunya sebahagian Tanah dan Kepulauan Melayu), memaksa kita meneliti semula liku-liku hidup sekaligus detik-detik penting dalam sejarah bangsa. 
Membuka lembaran tahun baru 2012 ini, saya pautkan video youtube - Tanah Air Beta - yang dikongsikan oleh 'jiran siber', sdr Awang Labu, dalam Kumpulan FB Geylang Serai, Kampungku.  
Selamat menonton, semoga kita mengambil iktibar dari kisah yang dipaparkan, insya'Allah. 

No comments: