Sunday, May 13, 2012

Selamat Hari Ibu, Emak


Gabungan lagu Kasihnya Ibu dan Syurga di Telapak Kaki Ibu oleh Jamal Abdillah
"Ya Allah, Ampunilah dosa ibu bapa kami dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka telah memelihara, mendidik dan mengasihani kami" 
Amin Ya Robbal Aalamin. Barakallah. 
Al-Fatihah juga buat Allahyarhamah, yang kebetulan kembali ke rahmatullah pada 16 Mei 2004.
Setelah sebulan, atau mungkin dua bulan (saya lupa menghitung hari kerana siang malam menunggu-nangga di wad), terlantar di PPUM, emak menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa saya di sisi. Tidak lama selepas saya pulang untuk mandi dan salin pakaian di rumah, emak dikatakan sesak nafas dan tak sempat diselamatkan oleh jururawat bertugas. 
Memang malam sebelumnya malam yang amat panjang buat emak, juga saya. Mungkin emak dengar bacaan surah Yasin yang berulang-ulang, tapi pandangannya tertumpu ke arah siling kamarnya, sekejap-sekejap mengalih ke tiap penjuru siling. Jururawat bertugas memberi isyarat agar saya menutup kelopak matanya. Saya menurut. Tapi sebentar kemudian, dibukanya lagi. Dalam hati kami bertiga, kami tahu hayat emak sudah terlalu hampir pada penghujungnya.   
[Begitu juga dengan arwah Hayati, yang saya temani di rumah sakit di Bonn selama dua minggu pada bulan Jun 1994. Sejurus saya melangkah keluar kamar untuk merehatkan tubuh setelah semalaman di sisinya, berdoa dan berharap agar pergelutan jasadnya, yang acapkali disuntik Morphin, dengan Malaikat Maut akan berakhir, rohnya menyerah jua pada ajal yang telah ditentukan.]       
Jururawat bagi tahu saya, mereka enggan orang yang paling rapat melihat mereka pergi buat selamanya.
Walaupun redha melepaskan roh mereka pergi, namun sukar untuk melepaskan kenangan bersama, terutama pada hari-hari terakhir yang getir.
Penyesalan tidak pernah reda, baik dari segi layanan, masa, wang dan kudrat yang dicurahkan ... tidak mungkin cukup untuk membalas budi emak dan kakak. Emak yang mengandungkan, melahirkan, membesarkan; kakak yang sering memberi dorongan dan sokongan. Ampunilah segala kesilapanku, emak - dari pemilihan pasangan hidup yang tak secocok hingga kawan rapat yang berniat jahat, kurangnya ketabahan menempoh dugaan dan kesabaran mendengar leteran.  
Emak dan kakak - dua wanita dari dua generasi yang berbeza. Kedua-duanya mengejar kebahagiaan dan ketenangan dengan cara yang berlainan.   
Setia emak pada Baba, walaupun terpaksa mengambil upah mencuci baju di paip awam untuk membesarkan anak-anak semasa Baba ditahan di Penjara Outram, tidak dapat disangkal. Namun, sokongan yang ampuh sekalipun menghadapi kegagalan demi kegagalan dalam usaha penerbitan, pasaran ikan dan kelapa, akhirnya goyah apabila Baba mengahwini setiausahanya sekitar 1966-1967.
Hayati pula meninggalkan tanah air untuk menempuh hidup di rantauan bersama jejaka Jerman bernama Heinz Gombel. Ramai yang menanggapnya bertuah bertemu jodoh dengan Pengarah Urusan Komersil, Lapangan Terbang Bonn-Cologne, diam di apartment mahal di kawasan kedutaan di tepi Sungai Rhein. Tetapi setelah enam tahun di ibukota Jerman Barat itu, Hayati mula resah dengan rutin sebagai 'haus frau' (suri rumah). Menyediakan sarapan. Mengemas rumah. Mencuci, menjemur, melipat, menyerika pakaian. Menjahit butang yang hilang, memotong kain, menjahit skirt dan dress sendiri daripada paten yang mudah. Menunggu suami pulang saban petang. Menanti hujung minggu, cuti umum atau sambutan hari istimewa untuk keluar dan berinteraksi dengan teman-teman tennisnya. Heinz tak kepingin cahaya mata kerana sudah ada anak lelaki daripada perhubungan terdahulu.
Selepas melalui jadual yang serupa selama enam tahun, 72 bulan dan 312 minggu (kecuali bila pulang bercuti Ramadan-Hari Raya dua tahun sekali ke Malaysia atau lawatan singkat bersama Heinz ke bandar-bandar Eropah yang lain), Hayati tidak betah duduk 'diam' di rumah lagi. Dia mula bertanya tentang kerja kosong di kedutaan Malaysia. Bila diberitahu pada Heinz niatnya untuk kembali bekerja, dia diberi kata dua - kekal di rumah atau keluar. Setelah beberapa bulan menimbangkan dan sekian banyak jam berbicara melalui telefon merentas Atlantik (saya di Boston waktu itu), Hayati mengemas pakaiannya dan berpindah ke apartment satu bilik di tingkat tiga tidak jauh dari apartment Heinz. Ramai yang sangka dia sudah hilang akal. Tapi dia pasti yang dia akan hilang akal jika terus dengan rutin yang membosankan dengan lelaki yang 'dingin' meskipun bertanggungjawab.
Harapkan panas hingga ke petang, apakan daya hujan di tengahari.
Kembali pada kudrat dan keringat emak yang dicurahkan untuk suami, anak-anak dan cucu-cucu. Dengan kebolehannya menyediakan makanan Jawa, Padang, Nyonya, Melayu dan Arab yang enak-enak, mudah baginya menjana pendapatan lumayan dari perniagaan nasi, lontong dan soto dari gerai atau warong atau     biskut raya dari rumah. Tapi dia memilih mengendong cucu pertama tujuh blok rumah pangsa dari Blok N ke pasar bersebelahan Blok A. Menjaga cucu kedua sejak dalam pantang sehingga hampir ke sekolah rendah. Sehingga persis bayang-bayang yang melekat pada kainnya ke mana sahaja dia pergi. Ditambah dengan yang ketiga, tak banyak rewel, tapi tetap memerlukan perhatian.
"Amit-amit jabang bayi."
"Badak-badak mintak isi, bangau-bangau mintak leher."
Itu dendangan sambil memandikan cucu-cucu semasa mereka masih bayi. Dilap dengan sempurna, sebelum disapukan minyak cap burung di perut dan kaki, diikatkan barut dan cawat sebelum dipakaikan baju 'kimono' mini dan seluar panjang.
Kemudian cucu-cucu dari anak lelaki. Tiga perempuan, seorang lelaki. Sehingga berselesih faham jika saya hanya ingin bersama anak-anak sendiri pada hujung minggu setelah letih ke pasar, mengemas rumah, mencuci, menjemur dan menggosok baju.  
Tapi di mana cucu-cucu kesayangan di kala Nenek menyusuri sisa-sisa kehidupan?
Masing-masing sibuk dengan tugas di pejabat, pasangan dan anak-anak masing-masing. Nenek tak ubah patung yang mengisi sofa tunggal, menatap kaca TV, merenung ruang kosong ...
Istirehatlah emak di alam barza.
Satu lagu Hari Ibu versi Djawa yang dikirimkan di laman FB, Javanese Singaporeans:
Hiphop Jawa (lelo ledung)      

No comments: