Wednesday, December 23, 2015

Memoir hijrah dua negara Nor Baiti

NUR BAITI (kanan) bersama anaknya, Izuan menampilkan kelainan dengan mencipta lagu tema untuk buku Across The Causeway: A Singapore Childhood.
MEMBESAR pada sekitar tahun 1960-an tatkala kontroversi pemisahan dua negara Malaysia dan Singapura telah menyingkap 1,001 kenangan yang menjadi rencah dalam kehidupannya.
Pada zaman kanak-kanak yang sepatutnya diwarnai dengan keceriaan, penulis berpengalaman Nor Baiti Badarudin akur dengan keputusan keluarganya untuk berhijrah dari Kaki Bukit, Singapura ke Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur bagi memulakan kehidupan baharu di sana.
Bertitik tolak daripada penutupan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar, Singapura pada 30 Jun 2011, anak kelahiran Singapura itu menghidupkan semula kenangannya dalam semangat Melayu Singapura melalui naskhah Across The Causeway: A Singapore Childhood.
“Buku ini merupakan memoir tentang pengalaman hidup dari sudut pandang seorang kanak-kanak yang hanya menurut arus saat konflik dua negara tercetus.
“Ia juga membawa unsur sejarah yang mencerminkan nilai kemelayuan dan kisah di sebalik setiap perhentian sepanjang perjalanan menaiki tren Senandung Malam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Perpustakaan Awam Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lagu tema
Across The Causeway: A Singapore Childhood adalah kisah yang berkisar tentang kronologi perjalanan seorang kanak-kanak untuk menuju masa depan yang belum pasti di Kuala Lumpur.
Ia bukan sahaja berlatarbelakangkan reaksi masyarakat tentang pemisahan dua negara itu, tetapi turut merangkumkan kisah silam keluarganya.
Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata itu, idea penulisan naskhah tersebut bermula dengan penglibatannya dalam penulisan blog Rabiah Hijrah pada tahun 2011.
Rentetan kepada perkongsian pada setiap entri dan impiannya untuk berkongsi cerita silam yang terpalit dengan kisah sejarah telah membawa kepada penerbitan buku di bawah syarikat Syurga Media milik anaknya, Izuan Shah.
Membesar sebagai anak Melayu Singapura di tanah Malaysia tidak menghalang insan seni itu untuk berjaya dalam kariernya sebagai pendidik dan penulis.
Pernah berkhidmat sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar tempatan, Nor Baiti melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif (kini Jabatan Pengajian Media) di Universiti Malaya melalui biasiswa yang ditawarkan oleh Berita Publishing pada tahun 1977 sehingga 1980.
Pada 1982 hingga 1983, beliau telah melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Boston, Amerika Syarikat di bawah Skim Latihan Akademik Bumiputera sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya.
Sebelum penerbitan buku Across The Causeway: A Singapore Childhood, Nor Baiti juga bergiat aktif dalam penulisan buku-buku pendidikan dan rujukan dalam bidang media.
Uniknya buku terbaharu yang dihasilkannya mempunyai lagu tema yang memberikan wadah kepada perjalanan cerita Across The Causeway: A Singapore Childhood.
Dua bahasa
Lagu itu dicipta sendiri oleh Izuan dan turut dihasilkan dalam dua bahasa dengan judul Farewell To Foothills dan Senandung Malam.
Tidak lokek untuk berkongsi cerita dan pengalaman, Nor Baiti turut menyuarakan pendapatnya berkenaan trend karya baharu yang semakin kurang nilai sastera.
“Kebanyakan buku hari ini tidak serupa dengan buku yang saya peroleh pada masa dulu. Penerbit buku sekarang juga kurang menekankan perihal struktur bahasa, malah judulnya juga telah dirojakkan supaya dapat menarik minat pembaca,” ujarnya.
Buku Across The Causeway: A Singapore Childhood boleh didapati pada harga RM49.90 di semua kedai buku utama seluruh Malaysia atau membuat pesanan secara dalam talian di laman web www.senisyurga.com.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman blog Nur Baiti, https://www.rabiahhijrah.blogspot.com
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz3v84YLBkA 
Hakcipta terpelihara 

Kosmo! Online - Varia

No comments: