Friday, May 27, 2016

Mencari Eleanor di Pulau Roosevelt


Anna Eleanor Roosevelt
Jacqueline Bouvier Kennedy Onassis
Dua imej Wanita Pertama yang berbeza. Eleanor Roosevelt, ikon Wanita Waja dan Jacqueline Bouvier-Kennedy, ikon Wanita Bergaya, mewakili dua era yang berbeza. Era pasca Depression dengan New Dealnya dan Era Perang Dingin dengan Bay of Pigs Fiasco. Eleanor dikenang sebagai 'A Woman Of Substance' yang mengheret negaranya daripada kancah kemurungan ekonomi, manakala Jackie dirai kerana membawa Style & Elegance - Gaya dan Kecanggihan - ke Rumah Putih era 1960an.

Tiada hadiah untuk tekaan tepat wanita yang menjadi buruan dan pujaan media untuk menghiasi muka depan akhbar dan kulit majalah. Ternyata sifat cermat dan sederhana bukan ciri-ciri yang melariskan jualan majalah dan meningkatkan pendapatan daripada hasil iklan.

~~~~~~~~
Main Street, Roosevelt Island

Peta menunjukkan kedudukan RI antara Manhattan dan Queens
Dah masuk hari ke empat saya jadi Orang Pulau. Bukan Pulau Bukom atau Pulau Belakang Mati, tapi Pulau Roosevelt di antara Queens dan Manhattan. Dinamakan pada 1971 sempena Presiden Franklin D. Roosevelt, tanah sekangkang kera berukuran hampir dua batu panjang kali 800 kaki lebar ini melalui beberapa pertukaran nama bergantung kepada penghuni dan pemiliknya.

Daripada Minnehanonck kepada Varkens Eylandt (Hog Island), Manning's Island, Blackwell's Island dan Welfare Island (1921-1971), Roosevelt Island (RI) beralih tangan daripada kabilah Orang Asli Lenape/Canarsie kepada Gabenor 'New Netherlanders', Kapten Inggeris, negeri dan bandaraya New York.

Meskipun kecil, tetapi dikenali sejak abad ke19 melalui penjaranya, hospital untuk banduan - Penitentiary Hospital, NYC Mental Asylum dan hospital untuk pengidap cacar - Smallpox Hospital, yang kini hanya tinggal runtuhan sejarah. Pendekatan perawatan sakit mental yang tidak berperi kemanusiaan membuat Nellie Bly, perintis kewartawanan siasatan menyamar sebagai pesakit di Women's Lunatic Asylum. Hasilnya buku yang berjudul Ten Days in a Mad-House (1887).

Namun, stigma lalu tidak menghalang orang kenamaan seperti Kofi Annan, Setiausaha Agung PBB suatu masa dahulu, dan Sarah Jessica Parker (pelakon siri TV Sex and the City) menghuni pulau ini.

Woody Allen, pembikin filem 'art', juga turut merakam kecelaruan cinta dalam filemnya Anything Else yang menampilkan pelakon genit, Christina Ricci.

Di luar kompleks apartment awam yang bergagasan kesamarataan, hasil rekaan arkitek Jerman yang disyaki berfaham Komunis, kami memintas sapaan wanita-wanita separuh umur dengan cocker spaniel dan rokok menthol yang teruja dengan bayi cilik yang dibawa bersiar-siar di pagi indah.

Pada malam harinya di laundromat, pelbagai rupa bersimpang-siur --- Caucasian, Redneck, African dan Asian (mungkin juga dari PRC) Amerika --- berebut mesin-mesin pencuci dan pengering yang berfungsi. Menjalani rutin kehidupan seharian di pulau yang sejarahnya mungkin tidak mereka peduli.

Pun begitu, saya yakin akan temui jua roh Eleanor di pulau ini suatu hari nanti.

Info dipetik dari wikipedia.

No comments: