Monday, June 11, 2012

Cabaran Tadbir Urus, Zuhud dan Melukut


DYTM Raja Nazrin Shah 
Assalamualaikum.
Setelah sekian lama menghilang dari litar persidangan dan yang sewaktu dengannya, Alhamdulillah saya diberi kesempatan menghadiri Siri Syarahan Razak anjuran Razak School of Government (RSOG) di Mandarin Oriental, KL, pagi ini.
Syarahan berjudul The Challenges of Governance in Contemporary Malaysia dibentangkan oleh DYTM Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak Darul Ridzuan.
Anda boleh baca tentang liputan syarahan itu di pautan-pautan berikut:
* http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/6/11/nation/20120611113540&sec=nation
* http://my.news.yahoo.com/beware-of-loose-promises-and-false-info-says-085729822.html
Secara ringkas, Raja Nazrin merumuskan bahawa dua cabaran utama yang dihadapi dalam mentadbir urus negara kini ialah (i) polarisasi kaum/etnik dan (ii) perangkap pendapatan pertengahan.
Penyelesaian yang disyorkan untuk cabaran pertama ialah kerjasama dan tolak ansur. Sementara jalan keluar untuk cabaran kedua ialah keberanian dan imaginasi untuk menggubal dasar dan melaksanakan pembaharuan.
Titahnya, dalam konteks cabaran semasa, sistem raja berperlembagaan memainkan peranan penting mempastikan perjalanan demokrasi yang sihat dan sebagai alat penyatuan rakyat yang berlawanan tuntutan.

Dari Raja Pendita ke Sistem Khalifah  

Saya tak pasti sama ada Raja Pendita terjemahan yang tepat bagi istilah 'Philosopher King' menurut Utopia Plato, namun saya teruja untuk mengulas Sistem Khalifah terutama di bawah pemerintahan Saidina Umar Ibn Khattab (634-644). 
http://pts.com.my/index.php/buku/umar_al-khattab_reformis_dunia_islam/ 
Hasrat ini saya pendamkan sejak saya membaca novel sejarah yang ditulis oleh Abdul Latip Talib hampir setahun lalu. Saidina Umar memang terkenal sebagai 'singa' kerana sifatnya yang garang dan berani sehingga berazam untuk membunuh Rasulullah saw yang dianggap menggugat kepercayaan turun menurun. Namun, api amarahnya dapat disejukkan oleh alunan ayat al-Quran yang dibaca oleh adik perempuannya yang terlebih dahulu memeluk Islam.  
Bagaimanapun, yang paling saya kagumi ialah sifat zuhud Nabi Muhammad saw dan sahabat-sahabat baginda yang dilantik menjadi khalifah. Rasulullah saw dikatakan menghembuskan nafasnya yang terakhir sedang ia berbaring di atas pelepah pohon kurma. Baginda juga enggan memanjakan anak perempuannya Fatimah az-Zahra yang meminta ayahandanya mendapatkan khidmat khadam untuk membantunya melakukan kerja-kerja rumah. 
Diceritakan dalam buku ini bahawa Saidina Umar ra telah bergilir-gilir dengan pembantunya menunggangi dan memegang tali kuda dari Makkah ke satu wilayah Rom yang telah ditawan tentera Islam (mungkin Syria atau Turki). Bila hampir dengan tempat yang dituju, beliau telah melempar kerikil ke arah wakil-wakil Islam yang kelihatan berpakaian mewah sedangkan beliau sendiri masih berpakaian seperti sebelum menjadi khalifah.
Yang paling melekat di benak saya ialah bagaimana beliau meronda setiap ceruk bandar Madinah untuk memastikan bahawa tiada penduduk yang tidur dengan perut kosong. Pada suatu malam, beliau telah menjemput suatu keluarga miskin makan di rumahnya. Beliau sendiri yang menyediakan roti untuk dihidangkan kepada tetamu. Begitu juga, beliau telah melamar seorang gadis untuk dijadikan menantu kerana kejujuran gadis itu pada saat dia dan ibunya menghadapi kesempitan hidup. 
Memanglah sekarang ini telah ada pembahagian tugas di mana agensi tertentu bertanggungjawab mempastikan tiada rakyat yang miskin dan lapar. Dan sifat zuhud yang diamalkan Rasulullah saw mungkin dianggap tidak sesuai dengan keadaan semasa. Mungkin juga ada yang mempertikaikan bahawa lebih baik kaya raya daripada papa kedana sebab harta boleh diinfaqkan sedangkan menadah tangan meminta sedekah bukanlah tabiat yang digalakkan Islam. Wallahu'alam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Bacaan seterusnya tentang:           

Pemerintahan Saidina Umar

1. Pembaharuan Dalam Bidang Pentadbiran
a) Membentuk Majlis Syura
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi terdiri daripada Uthman b. Affan, Ali b. Abi Talib, Zaid b. Tsabit, Abdul Rahman b. Auf, Saad b. Abi Waqas dan Muaz b. Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik, keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama dalam majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan dasar negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa permasalahan yang berlaku kepada dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam. Sehingga beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat adalah manusia yang tidak berfaedah.
b) Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara Islam yang baru telah memerlukan pentadbir bagi menguruskan sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai contohnya Muawiyah b. Abu Sufian, Amru b. al-Ash, Mughirah b. Syu’bah dan Zaid b. Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan kesucian Islam.
c) Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syria, dan Iraq misalnya, segala tanah-tanah awam menjadi milik kerajaan tempatan dan segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar menetapkan tanah-tanah yang dimiliki penduduknya tidak akan dirampas tetapi ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada tentera yang menyertai peperangan.

2. Pembaharuan dalam bidang ekonomi
Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi cekap dan perbendaharan negara bertambah.
Beliau juga turut memajukan sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq bagi menambahkan lagi hasil pertanian.

3. Pembaharuan Dalam Bidang Sosial
a) Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan ke atas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam diberikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.
b) Memperbaharui taraf kedudukan hamba
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecuali yang benar-benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak menziarahi pekerjanya yang sakit.
c) Mengalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan pelajaran al-Quran. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam. Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu di dalam al-Quran bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan menghafal kandungan al-Quran.

4. Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi
a) Memajukan sistem pertanian
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambungkan Sungai Dujlah (Tigres) dengan bandar Basrah.
Tanah juga telah dikajiselidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat juga digalakkan untuk membuka tanah-tanah baru bagi memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya. Begitu juga beliau telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan pendapatan negara.
Saidina Umar wafat pada tahun 644 setelah ditikam enam kali bertubi-tubi oleh seorang hamba tawanan Majusi Parsi, Abu Lu'lu'ah atau Fairuz, yang berdendam kerana kekalahan kaumnya. Waktu itu, Umar sedang mengimamkan jema'ah di Masjid al-Nabawi di Madinah. Beliau meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan makam Saidina Abu Bakar.
(Disuaikan daripada http://ms.wikipedia.org/wiki/Umar_Al-Khattab)

* Satu lagi makalah menarik tentang Saidina Umar ra:
Effective Governance in the Era of Caliphate 'Umar Ibn Al-Khattab (634-644)
oleh Sharifah Hayaati Syed Ismail Al-Qudsy & Asmak Ab Rahman http://www.eurojournals.com/EJSS_18_4_12.pdf

No comments: