Thursday, May 17, 2012

Jangan Ambil Pasar Kami

Update: 26/5/2012
Jom ramai-ramai ke acara Gotong Royong di Pasar Taman Tun Dr Ismail, Isnin 28/5/2012, jam 7 pagi hingga 1 petang.
Pertahankan konsep pasar awam, bela nasib peniaga kecil!
Yang kurik itu kendi, yang merah itu saga
   Yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa*

Bukan Menentang Kemajuan, Hanya Menyokong Semangat Kemasyarakatan 
(It's not about anti-development, it's about community spirit) 

     Semenjak ke gym di belakang pasar TTDI, saya mula rajin berbelanja dan makan minum di gerai-gerai di sana. Sewaktu di gerai makan Balkis, anak mami yang berasal dari Pulau Mutiara, saya berkenalan dengan Zaidah, ibu tunggal lapan anak yang berasal dari Kuala Terengganu. Zaidah pula memperkenalkan saya pada Narimah (pelanggan setia), Kak Wan (peniaga batik dan songket) dan teman-teman pelanggan dan peniaga runcit lain yang sering berkunjung ke gerai Balkis.
     Melalui persahabatan saya dengan Zaidah, saya kembali tersentuh dengan kepayahan hidup ibu tunggal yang kurang bernasib baik dari segi pelajaran, kerjaya dan harta. Mujur ada abang ipar Tan Sri, usahawan dan hartawan yang membantu dari segi tempat tinggal, pengangkutan, perbelanjaan seharian dan pelajaran anak-anak. Untuk menepis rungutan ipar duai yang iri hati, Zaidah memulakan perniagaan kecil mengedarkan barangan SmartHerbs dari sebuah meja di depan kedai rakan di tingkat atas pasar. Untuk mendapatkan kedai dari DBKL bukan mudah walaupun ada penyewa yang membiarkan kedai-kedai mereka kosong, tertutup atau tidak ditunggui oleh sesiapa. Tambahan, sewanya hanya RM50 sebulan. Dari segi bantuan kewangan, Zaidah telah mengemukakan permohonan daripada cawangan Amanah Ikhtiar di Masjid Sungai Penchala.
   Pun begitu, sejak awal 2012, telah ada ura-ura untuk merobohkan bangunan pasar. Kempen tandatangan oleh peniaga dan pembeli juga telah dilancarkan. Secara peribadi, saya berasa bahawa 'kemajuan' dan 'pembangunan' perlu ada hati budi. Tak semestinya semua bangunan harus mencakar langit, dibina dari 'steel & glass', berhawa dingin dan oleh/untuk mereka yang berpendapatan tinggi sahaja. Jika semua pasar awam digantikan dengan pasaraya swasta, maka tak merasalah lagi bekalan pasar serta masakan yang lazat pada harga yang murah. Ramailah yang kurang mampu yang akan kempunan makan lempeng kelapa gebu pada harga 50 sen sekeping, sarapan Laksa Johor/Mi Rebus/Mi Soto RM3 semangkuk dan makan tengahari Nasi Campur + Air Limau Ais pada harga sekitar RM5 sepinggan. Bukan itu sahaja, layanan ikhlas dan budi bahasa indah para pengusahanya juga akan digantikan dengan sikap 'profesional' yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.  
Bukan semua mereka yang tinggal di sekitar Taman Tun
mampu atau memilih untuk menjamu selera di Food Republic, One Utama. Food Republic dimiliki BreadTalk Group beribu pejabat di Singapura.   
http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2011/07/31/something%E2%80%99s-cooking-in-the-republic/
       
* Pautan video sekadar hiasan untuk menggarap luahan perasaan peniaga-peniaga kecil di pasar TTDI. Tiada kaitan sama sekali antara penulis dengan saluran media.  

No comments: